Sejarah Siri Sonic the Hedgehog

Siri ini bermula pada tahun 1991 apabila keluarnya Sonic The Hedgehog 1 untuk Sega Mega Drive, serta juga versi 8-bit permainan ini untuk format Master System dan Game Gear. Sonic merupakan punca Sega menjadi sebuah syarikat permainan video yang unggul ketika konsol permainan video era 16-bit, dan permainan Sonic yang pertama ini menggantikan Altered Beast sebagai permainan permulaan dalam Mega Drive di Amerika Utara dan Eropah. Pada Mac 2007, francais ini telah menjual lebih 45 juta salinan.

Bahagian Sega yang bertanggungjawab atas permainan sulung dalam siri ini digelar sebagai Sonic Team, dan anak syarikat inilah sejak itu telah memajukan banyak lagi judul permainan dalam francais ini. Ahli-ahli tersohor di kalangan kakitangan awal pasukan ini termasuk pemprogram Naka Yuuji, pereka Ooshima Naoto dan perancang permainan Yasuhara Hirokazu. Pemaju-pemaju permainan Sonic yang lain termasuk Sega Technical Institute, Dimps dan Traveller's Tales.